News & Articles S P Setia, PDC bekerjasama bina taman perindustrian di Pulau Pinang

S P Setia, PDC bekerjasama bina taman perindustrian di Pulau Pinang


5 Mar 2025
S P Setia, PDC bekerjasama bina taman perindustrian di Pulau Pinang
KUALA LUMPUR: S P Setia Bhd memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi membangunkan kira-kira 141.64 hektar tanah di dalam kawasan Setia Fontaines di Pulau Pinang untuk tujuan pembangunan bercampur dan/atau industri.

Menurut pemaju hartanah itu dalam satu kenyataan, kerjasama terbabit adalah pencapaian penting dalam usaha S P Setia untuk memulakan pembangunan kawasan perindustrian berpotensi di Pulau Pinang.

"Dengan rekod cemerlang PDC dalam membangunkan Pulau Pinang sebagai hab industri utama, jalinan ini dianggap tepat pada masanya dan akan menjadi pemangkin pertumbuhan pesat dalam sektor berkenaan," katanya.

Setia Fontaines, sebuah perbandaran mega seluas 684.32 hektar yang terletak di Seberang Perai Utara, sedang melalui proses penukaran status tanah bagi kira-kira 141.64 hektar untuk dimanfaatkan dalam strategi jangka panjang S P Setia dalam memperluaskan portfolio taman industri berasaskan konsep hijau.

Selain itu, syarikat turut memberi tumpuan kepada pembangunan taman industri hijau di Setia Alaman, Shah Alam dan Tanjung Kupang, Johor, dengan sejumlah 404.69 hektar tanah dikenal pasti untuk tujuan perindustrian.

Bermula tahun 2025, pembangunan ini dijangka menyumbang kepada pendapatan industri S P Setia, sekali gus merancakkan pertumbuhan jualan syarikat serta memperkukuh kedudukan kewangan syarikat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia, Datuk Choong Kai Wai, berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat menjalin kerjasama ini dengan PDC, sebuah entiti yang memainkan peranan utama dalam kejayaan sektor industri di Pulau Pinang.

"Perkongsian ini akan mempercepatkan pertumbuhan serta mengukuhkan strategi pembangunan tanah industri kami di rantau ini.

"Dengan tumpuan kepada taman industri hijau seperti Setia Alaman dan Setia Tanjung Kupang, kami yakin inisiatif ini akan memberi impak besar kepada pertumbuhan jualan dan keuntungan syarikat.

"Pembangunan kawasan industri ini akan menjadi asas kukuh dalam memenuhi permintaan tinggi terhadap hartanah industri, selain memastikan nilai dan pertumbuhan mampan yang boleh disalurkan ke dalam Setia REIT pada masa hadapan," katanya.

MoC yang ditandatangani itu menetapkan usaha sama antara S P Setia dan PDC melalui pelbagai model perniagaan yang berpotensi.

Matlamat utama kerjasama ini adalah untuk membangunkan kira-kira 141.64 ekar tanah bagi tujuan pembangunan bercampur dan/atau industri.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Knight Frank: Malaysia's commercial property transactions rising, mirroring global trend

  • Projek Pine 3 di Setia Eco Gardens tawaran terbaharu S P Setia

  • Malaysia's data centre boom: Johor emerges as a regional powerhouse

  • Paramount rancang pelancaran projek bernilai RM1.4 bilion tahun ini

  • Residential market may see single-digit rise in transaction volume and value