News & Articles Matrix Concepts perkukuh komuniti dengan MVV City, pengembangan di Johor

Matrix Concepts perkukuh komuniti dengan MVV City, pengembangan di Johor


21 Jan 2025
Matrix Concepts perkukuh komuniti dengan MVV City, pengembangan di Johor
KUALA LUMPUR: Matrix Concepts Holdings Bhd bersedia mengubah landskap kehidupan bandar melalui projek mercunya, termasuk pengembangan di Johor dan pembangunan MVV City di Negeri Sembilan.

Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Lee Tian Hock, berkata MVV City direka sebagai inisiatif transformasi dalam Malaysia Vision Valley 2.0, sekali gus menonjolkan komitmen syarikat terhadap urbanisasi mampan dan pematuhan kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Di Johor, pelancaran akan datang Bandar Sri Impian Fasa 2 — pembangunan seluas 125.25 hektar yang merangkumi 3,054 unit kediaman — bertujuan memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat sambil merangsang momentum jualan.

Hasil daripada projek penting ini dijangka menyumbang kepada pendapatan syarikat bagi tahun kewangan 2027.

"Matrix Concepts sentiasa berusaha melangkaui sekadar membangunkan hartanah. Kami membina komuniti dan mencipta pertumbuhan mampan.

"Dengan projek utama seperti pengembangan kami di Johor dan pembangunan MVV City yang berimpak besar, kami bersedia mentakrifkan semula kehidupan bandar sambil mengekalkan misi kami untuk memupuk persekitaran yang lestari dan memperkayakan kehidupan," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Tahun Baharu Cina syarikat itu.


Matrix Concepts menganjurkan Majlis Makan Malam Penghargaan Tahun Baharu Cina pada 16 dan 17 Januari lalu yang menghimpunkan tetamu kehormat serta kakitangan untuk menghargai kerjasama erat dan semangat berpasukan yang menyumbang kepada kejayaan syarikat.

Pada malam pertama, lebih 600 rakan perniagaan, termasuk perunding, peguam, bank, wakil media, pemimpin komuniti, kontraktor dan subkontraktor, menghadiri majlis berkenaan, manakala hari kedua dikhaskan untuk kakitangan syarikat.

"Majlis makan malam penghargaan tahunan ini lebih daripada sekadar sambutan. Ia adalah cara kami menyampaikan ucapan terima kasih yang ikhlas kepada individu dan organisasi yang telah bersama-sama kami sepanjang perjalanan ini," kata Pengerusi, Datuk Haslah Amin.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Well-planned developments can thrive in Johor's JS-SEZ

  • KPKT peruntuk dana RM642 juta bina PPR di Kelantan

  • SkyWorld in tie-up to diversify into prefab business

  • Matrix Concepts perkukuh komuniti dengan MVV City, pengembangan di Johor

  • Office sector to remain tenant-driven