News & Articles Pembeli projek Senze@PICC dapat kunci rumah pada 2027

Pembeli projek Senze@PICC dapat kunci rumah pada 2027


6 Jan 2025
Pembeli projek Senze@PICC dapat kunci rumah pada 2027
BAYAN LEPAS: Pembinaan pembangunan perdana terbaharu Hunza Properties Bhd (Hunza), Senze@PICC berjalan lancar dengan pembeli dijangka menerima kunci rumah masing-masing pada 2027.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Hunza, Khor Tze Ming, berkata pembangunan itu dijangka menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) menjelang suku keempat tahun depan.

Pemaju yang berpangkalan di Pulau Pinang itu akan memperuntukkan enam bulan lagi untuk kerja pengubahsuaian bagi 1,680 unit berkelengkapan penuh di tiga menara.

"Pembinaan sedang berjalan lancar seperti yang jelas dilihat apabila kami melintas di Jalan Tun Dr Awang dan sambutan menggalakkan daripada pembeli tempatan dan asing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran enam unit pameran Senze@PICC di Galeri Jualan Penang International Commercial City (PICC) di sini, baru-baru ini.


Tze Ming berkata Senze@PICC, pembangunan kediaman perkhidmatan berperabot lengkap pertama oleh Hunza, menawarkan pelbagai jenis unit yang terdiri daripada unit dua bilik tidur seluas 61.0373 meter persegi hingga unit 3+1 bilik tidur seluas 145.0216 meter persegi, dengan harga sekitar RM1,200 setiap kaki persegi.


Beliau berkata, terletak dalam sekitar pembangunan Senze@PICC ialah pusat beli-belah yang dijangka terbesar di wilayah utara serta menara komersial tertinggi di negeri ini yang akan menempatkan pejabat Perkhidmatan Perniagaan Global yang diperakui MSC serta hotel berjenama antarabangsa.

"Transit aliran ringan (LRT) Laluan Mutiara juga akan disambungkan ke bandar komersial ini dan majlis pecah tanah LRT dijadualkan pada 11 Januari ini, sekali gus meningkatkan kebolehcapaian dengan lancar di dalam dan di luar PICC," katanya.

Melangkah ke hadapan, Tze Ming berkata Hunza akan memulakan pembinaan beberapa projek di pulau dan tanah besar Pulau Pinang termasuk pembangunan bangunan tinggi pertama di bandar Bertam dan satu lagi projek perumahan mampu milik di pulau itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jualan dan Pemasaran Kumpulan, Datuk Lily Tan, berkata Hunza memulakan jualan awal untuk Menara C Senze@PICC sejak Mei tahun lalu dan menara itu kini 40 peratus ditempah.

Beliau berkata, ia akan mula membuka jualan untuk Menara A mulai 16 Februari 2025, manakala Menara B akan dilancarkan kemudian.

-BERNAMA

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Land in Sungai Pinang for LRT station never intended for housing development, says Chow

  • Harga rumah bertanah di KL, PJ dijangka naik tiga hingga empat peratus

  • Mah Sing fokus tawar rumah mampu milik di kawasan bandar

  • Data centre bonanza for property sector

  • Property sector to keep thriving in 2025