News & Articles Fasa 1 pembangunan semula Kampung Baru dijangka bina menara

Fasa 1 pembangunan semula Kampung Baru dijangka bina menara


30 Dec 2024
Fasa 1 pembangunan semula Kampung Baru dijangka bina menara
KUALA LUMPUR: Fasa 1 pembangunan semula Kampung Baru dijangka dibangunkan menerusi pembinaan struktur menara bertingkat tinggi merangkumi komponen bercampur termasuk unit kediaman dan komersial.

Penganalisis PublicInvest Research, Tan Siang Hing, berkata pembangunan Fasa 1 itu akan dibangunkan Sunsuria Bhd (Sunsuria) meliputi kawasan seluas 3.22 hektar.

"Sebelum ini Sunsuria memuktamadkan pembelian 20 peratus pegangan dalam syarikat usaha sama bagi mengambil alih tanah berkeluasan 3.91 hektar bagi pembangunan semula Fasa 1 Kampung Baru.

"Projek Fasa 1 yang terletak di Kampung Sungai Baru, berhampiran dengan pusat bandar Kuala Lumpur membabitkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.68 bilion," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sunsuria kini mempunyai baki simpanan tanah tidak dibangunkan seluas kira-kira 830.4 hektar dengan potensi anggaran GDV sebanyak RM8 bilion.

Baki simpanan tanah berkenaan dianggarkan akan mengambil masa sekurang-kurangnya lapan hingga 10 tahun untuk dibangunkan.


Daripada jumlah itu, GDV sekitar RM6 bilion adalah menerusi projek Sunsuria City @ Salak Tinggi yang telah dibangunkan dengan jumlah GDV RM1.4 bilion setakat ini.

Bagi projek pembangunan kediaman yang sedang dibangunkan, antara lain, termasuk Menara A, D dan E di Bangsar Hill Park, Seni Residences, serta apartmen servis pelbagai kemudahan Tangerine Suites di Sunsuria City Township, selain pembangunan bercampur berintegrasi Forum 2 di Setia Alam.

"Selepas mencatatkan penurunan mendadak akibat kelembapan ekonomi pada tahun kewangan 2020 susulan pandemik COVID-19, pendapatan Sunsuria telah pulih secara beransur-ansur, menamatkan tahun kewangan 2024 dengan pendapatan sebanyak RM627.8 juta, melebihi RM534.3 juta pada tahun kewangan 2019.

"Namun, keuntungan bersih kumpulan masih belum mencapai tahap sebelum pandemik dengan kira-kira RM24.9 juta pada tahun kewangan 2024, berbanding RM135.5 juta pada tahun kewangan 2019.

"Walaupun begitu, kami percaya keuntungan Sunsuria mungkin juga meningkat, didorong oleh projek pembangunan hartanah yang menawarkan margin lebih tinggi serta perniagaan baharu seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan yang semakin matang," kata Siang Hing.

PublicInvest Research berkata, pertumbuhan pendapatan beberapa suku tahun terakhir Sunsuria didorong terutamanya oleh projek seperti Menara A, C, D dan E di Bangsar Hill Park, Seni Residences di Sunsuria City, dan Fasa 1 Perindustrian Semi-D Sunsuria Kejora Business Park di Puncak Alam.

"Pada tahun kewangan 2024, pembukaan Concord College International School pada September lalu turut menyumbang kepada pendapatan kumpulan, melengkapi sumbangan hasil daripada bahagian hartanah.

"Menuju tahun kewangan 2025, kumpulan mungkin melancarkan projek pembangunan semula di Kampung Baru, yang dianggarkan mempunyai jumlah GDV sebanyak RM2.64 bilion (Fasa 1).

"Secara keseluruhannya, kami mengekalkan saranan 'beli' (saham Sunsuria) dengan sasaran harga tidak berubah pada 55 sen sesaham," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Land in Sungai Pinang for LRT station never intended for housing development, says Chow

  • Harga rumah bertanah di KL, PJ dijangka naik tiga hingga empat peratus

  • Mah Sing fokus tawar rumah mampu milik di kawasan bandar

  • Data centre bonanza for property sector

  • Property sector to keep thriving in 2025