News & Articles Pulau Pinang jadi pusat perumahan mampu milik terbesar di Malaysia

Pulau Pinang jadi pusat perumahan mampu milik terbesar di Malaysia


12 Dec 2024
Pulau Pinang jadi pusat perumahan mampu milik terbesar di Malaysia
KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat sejarah baharu dalam sektor perumahan mampu milik dengan pelancaran projek perumahan terbesar, Rumah Bakat Baru MADANI, yang bakal menyediakan lebih 35,000 unit rumah untuk kumpulan B40 dan M40.

SkyWorld dalam satu kenyataan berkata, projek ikonik itu direalisasikan menerusi perjanjian pembangunan bersama (JDA) antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), anak syarikatnya, PDC Properties, dan SkyWorld Development Berhad.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Projek ini akan dilaksanakan di dua lokasi strategik di Pulau Pinang iaitu Seberang Jaya (34 ekar) dan Batu Kawan (161.5 ekar).

Rumah yang ditawarkan berharga antara RM225,000 hingga RM420,000, dengan fasa pertama pembangunan dijangka bermula pada 2026 dan keseluruhan projek disiapkan dalam tempoh 10 tahun.

Seberang Jaya, sebagai sebuah kawasan pesat membangun, dan Batu Kawan, yang digelar "Silicon Valley of the East", menjadi lokasi ideal untuk projek ini.


Batu Kawan, khususnya, dijangka menjadi pusat pertumbuhan baharu dengan pembangunan Taman Perindustrian Batu Kawan (BKIP) yang kini menempatkan lebih 170 syarikat global dan mampu menampung 250,000 penduduk menjelang 2036.

Menggunakan teknologi inovatif Prefabricated Prefinished Volumetric Construction (PPVC), projek ini bukan sahaja menjanjikan kualiti pembinaan tinggi, malah menyokong amalan mampan selaras dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, menegaskan projek ini seiring dengan visi Penang2030 yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan hidup dan pertumbuhan sosioekonomi.

"Rumah Bakat Baru MADANI membuka peluang kepada rakyat Pulau Pinang dan mereka yang bekerja di negeri ini untuk memiliki rumah, memastikan inklusiviti dan keadilan dalam pemilikan kediaman," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memuji kerjasama awam-swasta ini yang sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI.

Beliau turut memuji pencapaian SkyWorld Development Berhad yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam kategori perumahan mampu milik.

"Kerjasama ini adalah contoh model yang wajar diteladani negeri lain dalam memastikan perumahan berkualiti mampu milik menjadi keutamaan," katanya.

Projek Rumah Bakat Baru MADANI bukan sekadar memenuhi keperluan perumahan, malah menjadi pemangkin pembangunan ekonomi dan komuniti di Pulau Pinang, sejajar dengan matlamat kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Land in Sungai Pinang for LRT station never intended for housing development, says Chow

  • Harga rumah bertanah di KL, PJ dijangka naik tiga hingga empat peratus

  • Mah Sing fokus tawar rumah mampu milik di kawasan bandar

  • Data centre bonanza for property sector

  • Property sector to keep thriving in 2025