News & Articles Pasaran hartanah semakin pulih, minat pembeli meningkat

Pasaran hartanah semakin pulih, minat pembeli meningkat


9 Dec 2024
Pasaran hartanah semakin pulih, minat pembeli meningkat
KUALA LUMPUR: Minat belian terhadap hartanah kekal kukuh dalam 10 bulan 2024 dan hartanah siap dibina tidak terjual juga dilihat semakin berkurangan, sekali gus mendorong pemulihan dalam sektor itu, kata penganalisis.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah meningkat semula kepada RM56.4 bilion pada Oktober 2024, meningkat 15 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Pada asas tahunan, jumlah permohonan pinjaman pada Oktober 2024 adalah lebih tinggi 4.1 peratus selepas merosot 10.5 peratus dari tahun ke tahun pada September 2024, menjadikan permohonan pinjaman terkumpul pada 10 bulan 2024 lebih tinggi pada RM532.4 bilion.

Pinjaman yang diluluskan untuk pembelian hartanah juga meningkat kepada RM24.3 bilion pada Oktober 2024, 11.3 peratus lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya.

Pada asas tahunan, pinjaman yang diluluskan mencatatkan pertumbuhan selama empat bulan berturut-turut, naik 2.2 peratus pada Oktober 2024, menjadikan jumlah pinjaman yang diluluskan bagi 10 bulan 2024 lebih tinggi pada RM237.8 bilion.

MIDF Research berkata, pertumbuhan dalam permohonan pinjaman adalah positif kepada sektor hartanah memandangkan ia menunjukkan minat belian terhadap hartanah kekal berdaya tahan.


Ia berkata, pinjaman yang diluluskan yang lebih tinggi dalam 10 bulan 2024 juga menunjukkan jualan baharu yang lebih kukuh untuk pemaju hartanah di Malaysia.

Tambahan pula, katanya, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Sistem Rapid Transit Johor Bahru-Singapura (RTS) akan kekal sebagai pemangkin bagi sektor hartanah.

"Secara ringkasnya, kami mengekalkan pendirian 'POSITIF' kami terhadap sektor hartanah. Pilihan utama kami untuk sektor ini ialah Mah Sing Group (BELI, TP: RM2.04) dan Matrix Concepts (BELI, TP: RM2.48)," katanya dalam nota penyelidikannya.

MIDF Research menjelaskan, pihaknya positif terhadap prospek jualan baharu Mah Sing berikutan jualan baharu akan dipacu oleh strategi menjual projek kediaman mampu miliknya.

Sementara itu, katanya, usaha sama Mah Sing Group dengan Bridge Data Centres di Mah Sing DC Hub @ Southville City akan memberikan peningkatan kepada pertumbuhan pendapatan dalam jangka panjang.

MIDF Research berkata, prospek jangka panjang bagi Matrix Concepts adalah positif berikutan keterlihatan pendapatan yang kukuh daripada tanah Lembah Wawasan Malaysia (MVV 2.0).

Ia berkata, MVV2.0 dengan jumlah keluasan 963.96 hektar dan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM12 bilion akan mendorong jualan hartanah dan pertumbuhan pendapatan selepas tahun kewangan 2027.

Selain itu, katanya, sumbangan pendapatan yang semakin meningkat daripada bahagian penjagaan kesihatannya akan terus menyokong pertumbuhan pendapatan.

MIDF Research berkata, hartanah siap dibina tidak terjual di Malaysia terus bertambah baik dengan kediaman siap dibina tidak terjual merosot kepada 21,968 unit pada suku ketiga 2024 berbanding 22,642 unit pada suku kedua 2024, iaitu pada paras terendah dalam tujuh tahun.

Ia berkata, kediaman siap dibina tidak terjual pada suku ketiga 2024 disumbangkan terutamanya oleh Kuala Lumpur (3,273 unit), Perak (3,039 unit), Johor (3,030 unit), Pulau Pinang (2,570 unit) dan Selangor (2,304 unit).

Sementara itu, katanya, pangsapuri servis siap dibina tidak terjual di Malaysia juga dalam aliran menurun apabila jumlahnya merosot kepada 20,158 unit pada suku ketiga 2024 berbanding 21,913 unit pada suku kedua 2024.

Jelasnya, pengurangan hartanah siap dibina tidak terjual di Malaysia boleh dikaitkan dengan pembersihan inventori pemaju hartanah dan permintaan yang lebih kukuh untuk hartanah.

Oleh itu, MIDF Research menjangkakan hartanah siap dibina tidak terjual yang semakin berkurangan akan mengekalkan bekalan hartanah yang kukuh dan menyokong sentimen belian terhadap hartanah.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Land in Sungai Pinang for LRT station never intended for housing development, says Chow

  • Harga rumah bertanah di KL, PJ dijangka naik tiga hingga empat peratus

  • Mah Sing fokus tawar rumah mampu milik di kawasan bandar

  • Data centre bonanza for property sector

  • Property sector to keep thriving in 2025