Tropicana perkenal Fraser Heights, projek rumah teres di Johor
KUALA LUMPUR: Tropicana Corp Bhd memperkenalkan Fraser Heights, fasa kediaman bertanah terbaharu dalam perbandaran Tropicana Uplands seluas 313 ekar di Johor.
Fraser Heights seluas 36 ekar, yang terletak dalam Zon B Utama Iskandar Malaysia, menampilkan 518 rumah teres yang direka untuk kediaman berbilang generasi, menawarkan kawasan binaan antara 1,500 kaki persegi dan 1,895 kaki persegi.
Setiap unit mempunyai empat bilik tidur, tiga bilik mandi , dapur yang luas sepenuhnya, dan anjung kereta berkembar.
Pelancaran awal Fraser Heights pada 23, 24, dan 30 November lalu menarik lebih 1,000 pengunjung.
Projek ini adalah sebahagian daripada konsep perbandaran mampan pemaju, yang menyepadukan komponen kerja-belajar-beli-belah-bermain, di samping ketersambungan ke lima lebuh raya utama.
"Disebabkan permintaan yang tinggi, kami berbesar hati memperkenalkan Fraser Heights, fasa kediaman kedua.
"Fasa kediaman berkawal eksklusif ini menawarkan banyak ciri menarik, daripada susun atur yang berfungsi dan praktikal, kebolehcapaian yang sangat baik ke lebuh raya dan kemudahan utama, serta akses ke taman pusat seluas 19 ekar, yang menampilkan tujuh ruang rekreasi," kata Pengarah Urusan Pemasaran dan Jualan Tropicana, Ixora Ang dalam satu kenyataan.
Tropicana Uplands ialah perbandaran guna bercampur yang akan menampilkan komponen kediaman dan komersial, taman komuniti pusat, dan kemudahan pendidikan dan rekreasi yang direka untuk mempromosikan gaya hidup hijau dan mampan.
"Tropicana Uplands telah menjadi alamat yang sangat dicari di Gelang Patah, Johor. Fasa pertamanya, Aster Heights, mencapai 100 peratus pengambilan dan mencatatkan skor Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) tertinggi sebanyak 87 peratus," kata Ang.
Aster Heights telah dilancarkan pada 2021, dan terdiri daripada 193 rumah teres dua tingkat dengan keluasan binaan 1,446 kaki persegi hingga 1,484 kaki persegi.
Berharga daripada RM489,000, semua unit telah habis dijual dalam tempoh lima bulan.
Source: Bharian.com.my