News & Articles WORQ perluas ruang kerja bersama di Menara UOA Bangsar

WORQ perluas ruang kerja bersama di Menara UOA Bangsar


21 Aug 2024
WORQ perluas ruang kerja bersama di Menara UOA Bangsar
KUALA LUMPUR: WORQ, penyedia terkemuka ruang kerja bersama dan ruang fleksibel di Malaysia dengan kerjasama UOA Asset Management Sdn Bhd (UOAAM) mengumumkan pengembangan di Menara UOA Bangsar.

UOA Asset Management adalah anak syarikat UOA Group dan menguruskan UOA REIT, pemilik bangunan Menara UOA Bangsar.

Pertambahan daripada 15,000 kaki persegi sedia ada menjadikan jumlah saiz ruang kerja bersama di menara itu kini kepada 32,500 kaki persegi.

Permintaan yang semakin meningkat daripada pemilik hartanah serta bakal penyewa membuatkan WORQ komited untuk memenuhi keperluan yang semakin berkembang bagi penyelesaian ruang kerja fleksibel di Lembah Klang.

Kadar penghunian penuh juga membuktikan permintaan berterusan terhadap ruang kerja berkualiti dan kepercayaan yang kukuh terhadap kemampuan jenama itu dalam memfasilitasi persekitaran kerja yang dinamik dan cekap.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif WORQ, Stephanie Ping, berkata mencapai kadar penghunian 100 peratus sebulan merupakan misi jangka panjang WORQ dalam menyediakan ruang kerja berkualiti tinggi dan fleksibel.

"Pengembangan ini bukan sahaja mengenai memperluaskan jejak kami, tetapi juga untuk memupuk komuniti bagi mengembangkan inovasi dan kerjasama.

"Sejak awal lagi kami memberi tumpuan untuk memenuhi keperluan komuniti perniagaan Malaysia yang sentiasa berubah dan kami komited untuk meneruskan perjalanan dalam mewujudkan ruang kepada perniagaan untuk berjaya," katanya.

Ping berkata, pengembangan di Menara UOA Bangsar bukan sahaja menonjolkan pertumbuhan WORQ tetapi juga mengukuhkan keperluan untuk hab inovasi utama.

"Menara UOA Bangsar telah menjadi komuniti yang berkembang maju untuk perniagaan dan merupakan bukti kepada kemudahan bertaraf tinggi dan penyelenggaraan bangunan yang cemerlang.

"WORQ juga akan terus mengukuhkan kedudukan sebagai salah satu peneraju pasaran yang dipercayai di Malaysia dengan membina dan mengekalkan hubungan yang kukuh untuk pemilik hartanah di pasaran tempatan," katanya.

Sementara itu, Rakan Bersekutu dan Pengurus Negara Antler Malaysia, Frank Kang, berkata sebagai salah satu anggota perintis yang menyertai WORQ Bangsar, syarikat telah menyaksikan peningkatan dan usaha berterusan oleh WORQ dan UOAAM dalam meningkatkan lagi ruang kerja ini.

"Pasukan kami mendapat manfaat daripada kemudahan moden dan komuniti di WORQ Bangsar, dalam mempromosikan produktiviti dan kreativiti," katanya,

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Land in Sungai Pinang for LRT station never intended for housing development, says Chow

  • Harga rumah bertanah di KL, PJ dijangka naik tiga hingga empat peratus

  • Mah Sing fokus tawar rumah mampu milik di kawasan bandar

  • Data centre bonanza for property sector

  • Property sector to keep thriving in 2025