News & Articles Jejambat BSP: Peningkatan akses, kualiti hidup penduduk - LBS
Jejambat BSP: Peningkatan akses, kualiti hidup penduduk - LBS
9 Jul 2024
KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd (LBS), pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat melancarkan secara rasmi jejambat Bandar Saujana Putra (BSP), projek yang dinanti-nantikan oleh penduduk Bandar Saujana Putra dan pengguna sekitarnya.
Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, EXCO Infrastruktur dan Pertanian,
Izham Hashim, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kuala Langat, Datuk Amirul Azizan Datuk Seri Abd Rahim dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San.
Projek jejambat BSP itu telah diumumkan pada 2019, kini dibuka untuk kegunaan awam.
Ia menghubungkan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).
Pada masa ini, populasi penduduk BSP mencecah hampir seramai 20,000 orang dan jejambat ini dijangka membantu mengawal aliran trafik di kawasan itu.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS menzahirkan rasa syukur di atas penyempurnaan projek jejambat BSP berkenaan.
"Di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi oleh LBS, terutama sewaktu pandemik, saya gembira projek ini berjaya disiapkan.
"Saya percaya jejambat ini akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan membantu meningkatkan aliran trafik di lokasi kritikal ini," katanya dalam satu kenyataan.
Penyempurnaan jejambat itu juga menandakan satu pencapaian penting dan tepat pada masanya, selaras dengan pelancaran projek BSP Sutera LBS pada April lalu.
Pembangunan itu terdiri daripada unit pangsapuri dan rumah bandar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM207 juta, yang mana ia akan memberi nilai tambah di Bandar Saujana Putra.
Hock San berkata, perbandaran itu terdiri daripada pembangunan bercampur yang strategik dengan pilihan komprehensif kediaman dan unit komersial yang memenuhi keperluan rakyat.
Sementara itu, Raja Ahmad Shahrir Iskandar pula menyifatkan jejambat dan persimpangan Bandar Saujana Putra itu juga menghubungkan rangkaian lebuh raya utama, maka dengan pembangunan itu, beliau yakin nilai hartanah di Bandar Saujana Putra dan sekitar akan meningkat dengan ketara.
Menteri Besar Selangor pula menyatakan Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memberi keutamaan terhadap kesejahteraan rakyatnya.
Beliau berkata, pelancaran jejambat Bandar Saujana Putra itu bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk dengan mengurangkan masa perjalanan dan kesesakan lalu lintas.
Amirudin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada LBS atas sumbangan syarikat terhadap pembinaan jejambat itu.