News & Articles LBS jana kapasiti 28.67 MW pelihara alam sekitar
LBS jana kapasiti 28.67 MW pelihara alam sekitar
14 Nov 2023
KUALA LUMPUR: Pemaju perumahan dan hartanah terkemuka, LBS Bina Group Bhd (LBS) mengumumkan kejayaan memperoleh kapasiti 28.67 megawatt (MW) melalui Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).
Pencapaian ini adalah hasil kerjasama dengan konsortium yang terdiri daripada Setara Armada Sdn Bhd, MWG Power Sdn Bhd dan Ocean Solar Energy Sdn Bhd.
Selari dengan komitmen LBS terhadap pemuliharaan alam sekitar, tanggungjawab sosial, dan amalan tadbir urus (ESG), langkah strategik ini meningkatkan dedikasi syarikat dalam memupuk pembinaan pembangunan yang mampan serta bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Kejayaan syarikat di dalam projek yang membabitkan CGPP menunjukkan komitmen LBS untuk mengintegrasikan amalan mesra alam ke dalam teras operasinya.
Pencapaian ini bukan sahaja memperkukuhkan kedudukan LBS sebagai sebuah syarikat korporat yang bertanggungjawab, malah melonjakkan kedudukannya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
Dengan penggunaan 28.67MW tenaga boleh diperbaharui, LBS bersedia untuk mempertingkatkan pengurangan pelepasan karbon, sekali gus memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan penggunaan tenaga bersih di rantau ini.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Lim Hock San, berkata kejayaan LBS dalam pemerolehan CGPP mengesahkan keteguhan komitmen syarikat terhadap pemuliharaan alam sekitar.
Katanya, sebagai pemaju perumahan dan hartanah, LBS menitikberatkan tanggungjawab membina ruang kediaman yang mampan di samping pembabitan dalam inisiatif yang menyokong kesejahteraan alam sekitar.
"Pencapaian ini merupakan bukti bahawa strategi perniagaan kami tertumpu kepada ESG dan menyokong sebarang usaha berkaitan bersama rakan kongsi kami yang dihormati," katanya dalam satu kenyataan.
Konsortium terbabit akan meneroka sinergi yang diperoleh menerusi kerjasama yang akan mengetengahkan kepakaran dan pengalaman dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
Kerjasama ini juga menandakan potensi perkongsian strategik dalam menyokong amalan kemampanan dan memacu transformasi yang positif.
LBS berhasrat untuk memanfaatkan kapasiti penggunaan tenaga hijau yang baru diperoleh ini untuk mempertingkatkan pembangunan mampan ke dalam teras projeknya di masa hadapan.
Syarikat akan sentiasa kekal konsisten untuk menyediakan penyelesaian yang inovatif dan lestari, sekali gus memberikan kesejahteraan kepada masyarakat secara keseluruhannya.