News & Articles IJM Land lancar presint terbaharu S2 Heights Aman
IJM Land lancar presint terbaharu S2 Heights Aman
14 Sep 2023
PETALING JAYA – Susulan kejayaan daripada projek pembangunan di Seremban 2 dan S2 Heights, IJM Land Berhad (IJM Land) telah melancarkan presint terbaharu S2 Heights Aman yang menawarkan pengalaman gaya hidup moden dan lebih mesra alam kepada pencari hartanah.
Projek kediaman yang membawa kepada kehidupan yang cenderung seperti kampung halaman itu memberi kedamaian kepada pemilik kerana ia menawarkan landskap menarik dengan pemandangan luas kawasan berumput menghijau dan belukar, di samping latar belakang hijau dengan dedaunan yang subur.
Pengurus Besar Kanan IJM Land, Chai Kian Soon berkata, pemandangan yang menawan ini membangkitkan pesona musim bunga Karuizawa, sebuah resort gunung yang indah di wilayah Nagano, Jepun, iaitu kawasan yang terkenal dengan keindahan semula jadi sempurna dan kehidupan hijau serta bertenaga.
“Inilah intipati yang menggambarkan presint baharu IJM Land yang baru dilancarkan, projek yang menjadi sebahagian pembangunan Fasa 4 Seremban 2 Heights (S2 Heights) di Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Tambah beliau, projek S2 Heights Aman dibangunkan di kawasan seluas 160 hektar yang mana daripada 17.2 hektar dikhususkan hanya untuk kawasan hijauan yang subur.
Jelas Kian Soon, perkataan Aman yang digunakan untuk pembangunan IJM Land ini merujuk kepada tenteram, selamat, santai dan tenang, dengan intipatinya terkandung dalam konsep pembangunan berprestij ini.
Justeru, S2 Heights Aman sangat berdedikasi dalam menegakkan kelestarian dengan memastikan pembangunannya tidak menjejaskan ekosistem hijau sedia ada. Ini mencerminkan pendekatan Midas Touch IJM Land sebagai pemaju hartanah perbandaran dan komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap penjagaan alam sekitar.
Selain itu, Sutera @ S2 Heights Aman, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM269 juta, menawarkan 308 unit kediaman dua tingkat bersambung moden dan praktikal yang mana kediaman tersebut direka dengan teliti dengan menawarkan empat bilik tidur dan tiga bilik air.
Bermula daripada RM698,000, kediaman ini bukan sahaja menyediakan persekitaran lebih tenang dan membuka ruang kepada penghuni lari daripada kesibukan kota, tetapi ia juga menawarkan nilai luar biasa berbanding tawaran sama pada harga serupa di Lembah Klang. -KOSMO!ONLINE