News & Articles RTS Link JB-Singapura main peranan penting untuk ekonomi BERNAMA

RTS Link JB-Singapura main peranan penting untuk ekonomi BERNAMA


20 May 2022
RTS Link JB-Singapura main peranan penting untuk ekonomi BERNAMA
Johor Bahru: Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dijangka memainkan peranan penting dalam meningkatkan aktiviti ekonomi, yang berpotensi berkembang lebih meluas seperti Koridor Barat Hong Kong-Shenzhen.

Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim berkata nilai projek RTS Link tidak dapat diukur hanya daripada sudut pandangan pembinaannya, kerana ia juga harus mengambil kira bagaimana ia mampu menarik pelaburan dalam jangka masa panjang.

"Pelaburan yang dibuat oleh kerajaan seharusnya memberikan pulangan dalam jangka pendek dan panjang, jadi kami mahu seluruh dunia mengetahui bahawa terdapat banyak peluang pelaburan di Johor Bahru susulan projek RTS ini.

"Kamu berhasrat untuk melihat agar suatu hari, koridor Johor Bahru-Singapura akan menjadi saingan atau sepadan dengan koridor Hong Kong-Shenzhen... itulah yang kami inginkan," katanya kepada wartawan semasa lawatan Wharton School of the University of Pennsylvania dan Singapore Management University ke Menara JL hari ini.

RTS bukan sahaja akan mengurangkan kesesakan lalu lintas tetapi akan menggalakkan lebih banyak perniagaan serta aktiviti rentas sempadan antara Singapura dan Johor Bahru.

"Kami melihat tempoh 15 minit bagi keseluruhan proses (termasuk pemeriksaan imigresen serta perjalanan kereta api), dari saat anda memasuki Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bukit Chagar hingga ke Woodlands North (Singapura).

"Inilah sebabnya kami melihat RTS sebagai agen perubahan bagi rantau ini," katanya.

Sektor ekonomi yang mendapat manfaat daripada kesan limpahan RTS termasuk perhotelan, penjagaan kesihatan dan pendidikan tinggi.

Menurut Mohd Zarif lagi, projek RTS Link, yang dijadualkan siap menjelang Disember 2026, dijangka mampu menarik 35 peratus daripada 350,000 orang yang bergerak melalui Tambak Johor setiap hari.

Beliau berkata rangkaian itu akan mempunyai kapasiti penumpang sebanyak 10,000 orang sejam, dengan itu membantu meringankan kesesakan trafik di lebuh raya.

MRT Corp juga menjalankan kajian mengenai sistem penyebaran lalu lintas yang menghubungkan RTS Link dengan Lebuh Raya Penyuraian Timur.

RTS Link adalah rangkaian rel sepanjang 4.0 kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar, Stesen Johor Bahru dan Woodlands di Singapura.

Source: Hmetro.com.my

Latest Posts
  • Land in Sungai Pinang for LRT station never intended for housing development, says Chow

  • Harga rumah bertanah di KL, PJ dijangka naik tiga hingga empat peratus

  • Mah Sing fokus tawar rumah mampu milik di kawasan bandar

  • Data centre bonanza for property sector

  • Property sector to keep thriving in 2025