News & Articles Maybank Home2u lulus 10 saat

Maybank Home2u lulus 10 saat


8 Mar 2022
Maybank Home2u lulus 10 saat
Kuala Lumpur: Maybank memperkenalkan Maybank Home2u pada aplikasi MAEnya iaitu penyelesaian pembiayaan perumahan maya pertama di Malaysia menerusi aplikasi perbankan bersepadu yang berupaya untuk memberikan kelulusan dalam tempoh 10 saat sebaik sahaja permohonan dilengkapkan.

Penyelesaian pembiayaan perumahan digital itu dijangkakan menyumbang lebih daripada 20 peratus kepada jumlah kelulusan pembiayaan perumahan dalam tempoh 12 bulan akan datang, kata bank itu dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Datuk John Chong berkata, aplikasi itu adalah sebahagian daripada usaha bank untuk menangani masalah utama dalam kalangan pelanggannya, iaitu untuk mengetahui keputusan kelayakan pemilikan kediaman baharu diimpikan dengan segera dan menerima cadangan mengenai pilihan alternatif berdasarkan kemampuan kewangan mereka.

"Maybank Home2u membolehkan semakan kelayakan dilakukan serta-merta dan kelulusan diperolehi pada masa nyata tanpa melalui urusan manual.

"Ini bukan sahaja dapat memperkasakan pengalaman pelanggan yang memohon pembiayaan perumahan dengan kami, malah ia juga dapat mengembangkan kecekapan operasi kami dalam memproses permohonan pembiayaan perumahan," katanya.

Beliau berkata, Maybank Home2u diperkenalkan pada masa yang sesuai, berikutan pemulihan penuh ekonomi sudah meningkatkan keyakinan pengguna dalam perbelanjaan.

Penyelesaian ini menawarkan kepada bakal pemilik rumah – termasuk pembeli rumah pertama dan pelabur hartanah - pengalaman maya yang menyeluruh bermula daripada urusan permohonan hingga kelulusan dan urusan menandatangani Surat Tawaran (LO), semuanya tanpa perlu mengunjungi cawangan.

Pelanggan mempunyai pilihan untuk memilih kediaman idaman daripada senarai lengkap hartanah kediaman bertanah dan bertingkat daripada pemaju perumahan terkenal seperti EcoWorld, IJM Land, Sime Darby Property dan S P Setia secara langsung dari aplikasi.

Untuk mengakses Maybank Home2u melalui aplikasi MAE, pelanggan perlu mengemas kini kepada versi terkini aplikasi MAE di Apple App Store atau Google Play Store.

Maklumat lebih lanjut mengenai aplikasi ini boleh didapati di https://www.maybank2u.com.my/home2u-mae.

Source: Hmetro.com.my

Latest Posts
  • Land in Sungai Pinang for LRT station never intended for housing development, says Chow

  • Harga rumah bertanah di KL, PJ dijangka naik tiga hingga empat peratus

  • Mah Sing fokus tawar rumah mampu milik di kawasan bandar

  • Data centre bonanza for property sector

  • Property sector to keep thriving in 2025