News & Articles Hap Seng beli tanah di KL Metropolis

Hap Seng beli tanah di KL Metropolis


4 Jan 2022
Hap Seng beli tanah di KL Metropolis
KUALA LUMPUR: Sierra Positive Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Hap Seng Consolidated Bhd, memeterai perjanjian jual beli bersyarat bagi memperoleh sebidang tanah komersial daripada TTDI KL Metropolis Sdn Bhd (TKLM) pada harga RM868.67 juta.

TKLM ialah anak syarikat milik penuh Naza TTDI Sdn Bhd, yang mana ia juga adalah anak syarikat milik 80 peratus Naza Corp Holdings Sdn Bhd.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Hap Seng berkata pemerolehan tanah itu, dikenali sebagai Met 3 Land, Plot 7A, KL Metropolis, akan dibiayai oleh dana janaan dalaman dan pinjaman bank.

Tanah seluas 6.20 hektar, yang bersebelahan dengan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), akan membolehkan kumpulan itu mengukuhkan kehadirannya dalam pembangunan hartanah di KL Metropolis.

Kumpulan itu menyatakan keyakinannya bahawa ketersambungan dan ketercapaian Met 3 Land akan menjadi petanda yang baik untuk pelancaran projek masa depannya.

"Inisiatif bank tanah di lokasi strategik ini dijangka mewujudkan hasil dan keuntungan yang mampan untuk perniagaan pembangunan hartanah kumpulan," katanya.

Kumpulan itu berhasrat untuk mengadakan pembangunan komersial bercampur di Met 3 Land dengan kos pembangunan berjumlah RM7 bilion dan anggaran nilai pembangunan kasar RM8.7 bilion.

Antara risiko untuk pemerolehan yang dicadangkan ialah permintaan dan syarat pasaran, kelulusan pihak berkuasa, kekurangan tenaga kerja dalam industri pembinaan, harga bahan binaan yang turun naik, dan sebarang kelewatan yang tidak dijangka yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

-BERNAMA

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Strong tourism growth anticipated in Langkawi

  • Bali Escape Kuala Lumpur dibuka suku keempat 2025

  • 76,664 housing credit guarantee applications worth RM17.86bil approved since 2008

  • Pelaburan hartanah komersial Malaysia meningkat

  • Knight Frank: Malaysia's commercial property transactions rising, mirroring global trend