KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd merancang untuk melancarkan 10 projek hartanah tahun ini dengan fokus utama kepada produk mampu milik, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Ho Hon Sang.
Beliau berkata, daripada jumlah itu ia merancang melancarkan pembangunan lapan fasa baharu termasuk projek Tower E of M Vertica, Cheras; baki fasa M Arisa, Sentul; Fasa 2 Cerrado Suites dan Tower B Sensory Residences di Southville City, Bangi; Fasa 3 M Aruna dan M Panora, Rawang; apartmen servis di Southbay City, Pulau Pinang; serta Erica di Meridin East, Johor Bahru.
"Mah Sing juga merancang untuk melancarkan dua projek baharu di atas tanah yang diperoleh awal tahun ini iaitu M Astra, Setapak dan M Senyum, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dengan kedua-dua projek ini berharga di bawah RM500,000 selaras dengan sasaran untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi kediaman mampu milik," katanya dalam satu kenyataan.
Projek M Senyum yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 40.5 hektar di Bandar Baru Salak Tinggi, dijangka membabitkan komponen rumah teres dua tingkat dengan keluasan 20' x 60' hingga 20' x 70'.
Harga indikatif bagi projek berkenaan yang bermula RM450,000, adalah selaras dengan strategi semasa kumpulan yang memberi tumpuan terhadap kediaman bertanah di pinggir bandar dan kediaman bertingkat di kawasan pusat perniagaan (CBD).
Pembangunan projek terbabit mudah diakses menerusi lebuh raya utama seperti Lebuhraya ELITE dan PLUS, selain terletak berhampiran dengan Stesen ERL Salak Tinggi.
M Senyum dijangka dilancarkan pada Disember ini.
Berdasarkan Laporan Pasaran Hartanah Malaysia bagi separuh pertama 2021 yang dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Nasional (NAPIC), prestasi pasaran hartanah Malaysia mencatatkan peningkatan yang ketara bagi tempoh dikaji berbanding separuh pertama 2020, dengan peningkatan jumlah transaksi dan nilai transaksi masing-masing 21 peratus dan 32.1 peratus.