News & Articles Pemaju berdepan kenaikan kos, harga rumah dijangka meningkat

Pemaju berdepan kenaikan kos, harga rumah dijangka meningkat


23 Jan 2025
Pemaju berdepan kenaikan kos, harga rumah dijangka meningkat
KUALA LUMPUR: Harga rumah kediaman di negara ini dijangka meningkat sekitar purata satu angka tahun ini berikutan pemaju cuba untuk mengimbangi peningkatan kos binaan yang ketara, demikian menurut pakar industri.

Namun, harga rumah kediaman yang terletak di lokasi strategik berpotensi meningkat secara purata sekitar dua angka dengan minimum 15 peratus.

Ketua Pegawai Operasi Henry Butcher Real Estate Sdn Bhd, Tang Chee Meng, berkata beberapa tahun kebelakangan ini, pemaju hartanah telah cuba menyerap kenaikan kos pembinaan berikutan pasaran yang masih dalam fasa pemulihan selepas terkesan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, kos seperti keluli, batu bata dan semua kos bahan binaan telah meningkat agak ketara.

"Berikutan pasaran tidak begitu kukuh, maka pemaju tidak berada dalam kedudukan untuk melepaskan kos kepada pengguna.

"Namun, kini dilihat, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) juga menyebut bahawa keadaan mulai bertambah baik dan sudah tiba masanya untuk ahlinya meneliti kenaikan harga bagi menangani kos tambahan," katanya pada sidang media mengenai tinjauan hartanah Malaysia 2025 di sini, hari ini.


Mengenai tinjauan pasaran hartanah bagi 2025, Chee Meng berkata, pihaknya optimistik bahawa pasaran hartanah kediaman di Malaysia dijangka stabil dan terus menikmati pertumbuhan positif selepas mencatatkan peningkatan hampir lima peratus dalam jumlah transaksi bagi sembilan bulan tahun lalu.

Beliau berkata, langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.00 peratus sejak menaikkannya pada Mei 2023 juga memberi kesan yang baik kepada sektor hartanah berikutan kestabilan kadar faedah.

"Secara keseluruhan, kami percaya tumpuan pasaran hartanah kediaman pada 2025 akan berterusan dalam hartanah kediaman bertanah terutamanya rumah teres setingkat dan dua tingkat, apartmen dalam harga yang mampu milik di bandar utama dan unit bersaiz kecil serta projek mewah khusus di lokasi yang baik," katanya.

Chee Meng berkata, prestasi positif pasaran hartanah kediaman yang berterusan juga telah menggalakkan pemaju untuk membeli tanah dan melancarkan projek baharu.

Beliau berkata, faktor positif seperti situasi politik tempatan yang stabil, pertumbuhan berterusan ekonomi, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh dan peningkatan kemasukan pelancong dipacu Tahun Melawat Malaysia 2026 dijangka membantu negara dalam menampan kesan ketidaktentuan global.

"Disokong oleh jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh oleh kerajaan antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus pada 2025 dan tanpa sebarang peristiwa global yang boleh menjejaskan prestasi ekonomi Malaysia, kami yakin pasaran hartanah Malaysia yang utuh akan terus menikmati pertumbuhan positif pada 2025," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Sime Darby Property signs five anchor tenants for KLGCC Mall

  • Tinjau dulu sebelum beli

  • SimeProp gets 100% take-up for Arina project

  • Pemaju berdepan kenaikan kos, harga rumah dijangka meningkat

  • Well-planned developments can thrive in Johor's JS-SEZ