News & Articles Glomac cadang potongan cukai rumah bawah RM700,000

Glomac cadang potongan cukai rumah bawah RM700,000


16 Oct 2023
Glomac cadang potongan cukai rumah bawah RM700,000
KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Glomac Bhd, berharap Belanjawan 2024 dapat memperkenalkan inisiatif untuk sektor hartanah antaranya potongan cukai faedah untuk rumah berharga RM700,000 di kawasan bandar-bandar utama.

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Glomac, Datuk Seri FD Iskandar berharap supaya belanjawan kali ini akan memperkenalkan inisiatif yang dapat memudahkan ramai lagi rakyat memiliki rumah sendiri di samping menjadi pemangkin sektor hartanah yang dibelenggu pelbagai kekangan.

"Saya amat berharap Belanjawan 2024 berupaya memperkasakan sektor hartanah supaya manfaatnya dapat merentasi rantaian nilai iaitu dari pembeli rumah, syarikat pemaju serta industri sokongannya.

"Selain itu, kadar faedah lebih rendah untuk pembeli rumah kali pertama untuk hartanah RM500,000 di kawasan bukan bandar utama, serta memperkenalkan semula kempen pemilikan rumah seperti Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) dan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) terutamanya untuk pembeli rumah kali pertama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

FD Iskandar berkata, memandangkan syarikat utiliti tempatan telah mencatatkan jumlah keuntungan yang memberangsangkan, kaedah subsidi silang perlu dihentikan serta kerajaan harus mengambil alih tanggungjawab pembinaan rumah kos rendah.

"Ini akan memberi ruang kepada pemaju perumahan memulihkan kedudukan kewangan mereka akibat kerugian pasca-pandemik serta menanggung kos menjalankan perniagaan yang masih tinggi.

"Kita harus terima hakikat bahawa sektor hartanah dibelenggu kos premium tanah yang melambung serta kos bahan binaan utama seperti simen yang mahal.

"Oleh kerana wujudnya monopoli bekalan simen di negara ini, kawal selia yang lebih baik diperlukan bagi membantu mengurangkan kos binaan di pihak pemaju," katanya.

Beliau menambah, adalah amat mustahil untuk pemaju menurunkan harga rumah sekiranya kos pematuhan yang dikenakan adalah tinggi.

"Kesan gandaan seperti ini perlu dibendung. Saya juga mengesyorkan proses kelulusan projek perumahan dalam tempoh yang ditetapkan terus ditambahbaik dari aspek ketelusan.

"Pada pendapat saya, banyak lagi ruang untuk merancakkan pembangunan sektor hartanah untuk kesenangan rakyat," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Land in Sungai Pinang for LRT station never intended for housing development, says Chow

  • Harga rumah bertanah di KL, PJ dijangka naik tiga hingga empat peratus

  • Mah Sing fokus tawar rumah mampu milik di kawasan bandar

  • Data centre bonanza for property sector

  • Property sector to keep thriving in 2025