News & Articles Tender projek MRT3 dibuka Jun ini

Tender projek MRT3 dibuka Jun ini


6 Apr 2022
Tender projek MRT3 dibuka Jun ini
KUALA LUMPUR: Tender bagi projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) akan mula dibuka seawal Jun ini melalui lima pakej utama untuk tempoh enam hingga lapan tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim, berkata pihaknya menjangkakan tawaran tender itu akan dapat dimuktamadkan pada suku keempat 2022, dengan

pelan pembangunan tender masih dalam peringkat akhir perincian.

"Kami akan percepatkan pembukaan tender MRT3 dalam Jun atau Julai ini. Kami menjangkakan tender empat pakej utama akan dapat dimuktamadkan pada suku keempat tahun ini.

"MRT3 Laluan Lingkaran penting bagi pembangunan Lembah Klang. Ia juga mampu memberikan lonjakan ekonomi kepada semua pihak. Justeru, penting untuk MRT3 dipercepatkan.

"Apabila tender terbuka itu sudah selesai, baru kos sebenar pembinaan MRT3 dapat dikemukakan kerana anggaran ketika ini adalah sekitar RM31 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara MRT Corp dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.

MoU disaksikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Model pembangunan projek MRT3 berbeza dengan dua projek MRT terdahulu kerana memberi fleksibiliti kepada kerajaan untuk menguruskan kewangan yang terhad, apabila kontraktor dijangka menyumbang kepada kos pembinaan awal.

Tanggungjawab kos pembinaan awal serta risiko pelaksanaan akan ditanggung bersama oleh semua pihak terbabit memandangkan projek mega itu dibahagikan kepada lima pakej utama.

Bagi MRT2, semua kerja ujian berjalan lancar dan dijangka memulakan perkhidmatannya pada Jun ini.

MRT2 sebelum ini terpaksa ditangguhkan berbanding jangkaan awal pembukaan disebabkan MRT Corp menemukan beberapa masalah kecil dalam sistem operasinya.

MRT3 Laluan Lingkaran membabitkan lingkaran sepanjang 50.8 kilometer (km) meliputi 40.1km di laluan atas manakala 10.7 km laluan bawah tanah.

Jajaran terkini projek itu juga berbentuk lingkaran sekitar Kuala Lumpur dengan 39km terletak di Kuala Lumpur dan 12km lagi di Selangor.

Sebanyak 31 stesen akan dibina sepanjang laluan MRT3 yang dijangka akan bermula secara berperingkat pada 2028.

Mohd Zarif berkata, majoriti kerja pembinaan adalah untuk kontraktor tempatan, manakala hanya sebilangan kecil saja dibuka untuk kontraktor luar.

Beliau berkata, MRT Corp ingin meningkatkan keupayaan dan kepakaran tempatan dalam projek berskala besar seperti ini, sekali gus menjadikan Malaysia lebih berdaya saing.

"Ia juga mampu membuka peluang pekerjaan dan peningkatan kemahiran kepada tenaga kerja tempatan," katanya.

Mengenai kerjasama dengan DBKL, Mohd Zarif berkata, MRT3 mendapat sokongan penuh Kementerian Wilayah Persekutuan yang mahu projek ini menjadi pemangkin kepada masa depan Kuala Lumpur yang lebih baik.

"Tidak dinafikan perancangan transit dan bandar mesti dijalankan seiring untuk mengoptimumkan penggunaan tanah.

"DBKL memainkan peranan strategik dalam struktur pembangunan laluan dan pembangunan infrastruktur MRT3," katanya.

MRT3 Laluan Lingkaran akan menambah baik kesalinghubungan yang diperlukan pengangkutan awam lain di Lembah Klang, merangkumi pusat pembangunan utama dan pinggir bandar serta membolehkan mobiliti keseluruhan perjalanan.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Land in Sungai Pinang for LRT station never intended for housing development, says Chow

  • Harga rumah bertanah di KL, PJ dijangka naik tiga hingga empat peratus

  • Mah Sing fokus tawar rumah mampu milik di kawasan bandar

  • Data centre bonanza for property sector

  • Property sector to keep thriving in 2025