Dassault bina pusat MRO di Subang, labur RM100 juta
KUALA LUMPUR: Malaysia terus menjadi hab penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pilihan di rantau ini dengan pembangunan pusat penyenggaraan sehenti bersepadu pertama di negara ini untuk jet perniagaan.
Langkah berkenaan yang akan membabitkan pelaburan lebih RM100 juta oleh Dassault Aviation, adalah hasil kerjasama strategik terkini antara Malaysia Airports Holdings Bhd (Malaysia Airports) dengan anak syarikat Dassault Aviation, ExecuJet MRO Services Malaysia (ExecuJet).
Pusat MRO dibangunkan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah atau lebih dikenali Lapangan Terbang Subang itu juga menjadi Pusat Kecemerlangan Asia Dassault Aviation bagi MRO.
Pusat sehenti untuk jet perniagaan itu akan menjalankan penyenggaraan berskala besar bagi pesawat Dassault, Bombardier dan Gulfstream serta pengubahsuaian dalaman.
Ia dijangka beroperasi suku keempat 2023 di tapak seluas 144,000 kaki persegi dan boleh menampung sehingga 45 pesawat sebulan.
Mengulas perkembangan itu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata Lapangan Terbang Subang adalah salah satu kawasan pembangunan paling utama dalam inisiatif kluster aeropolis kumpulan.
Beliau berkata, matlamat utama bagi aeropolis adalah untuk mewujudkan ekosistem penerbangan yang boleh menarik pelaburan langsung asing (FDI) dari syarikat antarabangsa.
Katanya, pelaburan penting yang sedang dibuat oleh Dassault Aviation melalui ExecuJet adalah petunjuk mengenai keyakinan peserta penerbangan global terhadap potensi Malaysia sebagai hab aeroangkasa dan penerbangan.
"Malaysia sudah menjadi hab yang semakin digemari penerbangan perniagaan dan MRO di Asia Pasifik dan kemudahan bersepadu baharu ini oleh ExecuJet akan menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan perniagaan yang paling digemari di rantau ini," katanya pada majlis pengumuman kerjasama strategik itu yang diadakan sempena Pameran Penerbangan Selangor sulung anjuran Invest Selangor.
Mengulas lanjut, Iskandar Mizal berkata, kemudahan baharu itu akan membuka pintu kepada lebih banyak peluang pekerjaan dan menambah tenaga kerja mahir di dalam negara.
Beliau berkata, selain menarik pelaburan asing dan menyumbang kepada ekonomi tempatan, pembangunan kemudahan baharu itu akan meningkatkan modal insan dengan meningkatkan kemahiran bakat tempatan menerusi pengetahuan teknikal dan keupayaan baharu.
Sementara itu, Naib Presiden Serantau Asia ExecuJet MRO Services, Ivan Lim, berkata pelaburan bagi pembangunan kemudahan baharu itu adalah tepat pada masanya.
Beliau berkata, kemudahan baharu itu dijangka mula beroperasi pada separuh kedua 2023 dengan jumlah keluasan lantai kasar 144,000 kaki persegi yang merangkumi lantai hangar, bengkel penyelenggaraan pesawat dan bangunan pejabat.
"Dengan mengguna pakai konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), reka bentuk kemudahan mengambil kira ciri pemeliharaan alam sekitar seperti penggunaan pencahayaan semula jadi, penuaian air hujan untuk kegunaan sekunder dan pemasangan panel solar," katanya.
Source: Bharian.com.my